Saya lantas menghubungi Ibrahim Isa, wartawan Harian Metro yang turut sama menjejak Mariam dan keluarganya dua tahun lalu di Kota Tinggi dan Plentong. Beliau sudah maklum perkara itu dan kami berbincang tindakan selanjutnya.
Saya juga menelefon wartawan kanan Berita Harian, Khirul Bahri Basaruddin, yang terbabit secara langsung ketika Ibrahim, saya dan Azida Shaharuddin (wartawan Berita Harian) membuat liputan Mariam hingga ke Seoul dua tahun lalu, dan seterusnya saya memaklumkan meja berita New Straits Times di Kuala Lumpur untuk tujuan liputan.
Panggilan terakhir petang itu ialah kepada Sheridan Mahavera, bekas ketua biro Johor Bahru ketika saya membuat liputan Mariam dua tahun lalu sebelum kami bertukar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Beliau mengetahui perbualan saya dengan Jelani Sonni, anak lelaki Mariam tiga bulan lalu mengenai niat ibunya yang ingin pulang ke Malaysia untuk selama-lamanya.
Tiada sesiapapun yang dapat meneka apakah yang berlingkar di benak Mariam ketika kakinya melangkah keluar dari bendul tangga selepas mengucup anak bongsunya Jamnah Sonni sambil berulang kali menjanjikannya biskut enak dari Korea untuk anaknya itu. Janjinya pada anak montel itu pemergiannya hanya tiga bulan dan dia akan pulang semula ke Malaysia.
Dia hanya pulang 64 tahun selepas itu bagi memenuhi janjinya pada Jamnah membawa biskut enak dari Korea ke Kampung Seluyut.
Kepulangan Mariam, 86, menjenguk anaknya ke Kota Tinggi pada September 2007, hanya untuk 10 hari dan beliau kembali ke Seoul sehari sebelum Ramadan. Pemandu bas, Ji Yong Un walaupun anak tiri, tetapi itulah anak yang dibelanya sejak kecil, dan kini anak itu jugalah menanggung segala makan minumnya.
Hujung Mei lalu, Mariam jatuh sakit lalu menelefon Jelani di Kota Tinggi dan mereka berbual melalui seorang jurubahasa. Mariam menyatakan permintaannya untuk pulang ke tanah kelahirannya untuk selama-lamanya.
Beliau ingin dikuburkan di kampung anaknya.
Jelani terpempan, soalnya bagaimana? Beliau hanya penjaja kuih, tetapi ibunya mesti dibawa pulang. Biar apapun tohmahan bakal dilontar padanya beliau akan mencari jalan, maka beliau berjanji pada ibu untuk membawanya pulang.
Pada jam 10.30 malam, 6 September, saya menerima panggilan daripada Seo Kyu Won, pegawai kedutaan Korea di Kuala Lumpur, orang pertama berhubungan dengan saya mengenai Mariam dua tahun lalu. Katanya, Mariam mati dalam keadaan tenang di hospital ditemani orang yang dikasihinya anak tirinya Ji Yong Un dan penerbit dokumentari Korean Broadcasting System, Park Keon Young selain Mariam meninggalkan wasiat mahu ditanam sebagai seorang Kristian.
Saya hanya mendengar, menerima tidak, menolak pun tidak. Beliau meminta saya menelefon Park jika ingin mengetahui lebih mendalam perkara itu.
Saya menggagahkan diri untuk menelefon Park dan beliau menjawab panggilan saya walaupun pada ketika itu sudah jam 11 malam dan tengah malam waktu Seoul.
Dalam pelat Korea dan bahasa pasar Inggerisnya, Park memberitahu mayat Mariam akan dibakar pada pagi Selasa (8 September), walaupun sebenarnya Mariam meminta untuk dikebumikan sama ada di Seoul atau di Malaysia.
Perbualan kami ringkas dan melalui Park saya mendapati percanggahan maklumat iaitu pertama, Mariam mati bersendirian di sebuah rumah orang tua, kedua, Mariam yang buta huruf itu tidak meninggalkan apa-apa wasiat bertulis yang sah di sisi undang-undang.
Menyirap darah saya membaca kepala tajuk muka depan Berita Harian keesokan harinya yang menyebut wasiat Mariam yang mahu ditanam sebagai Kristian dan disokong melalui kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay kewujudan wasiat itu.
Bukan saya seorang saja yang berasa demikian, malah Ibrahim dan Azida yang menulis berita itu sendiri tidak puas hati. Walaupun kami bertiga berada di lokasi yang berbeza masing-masing berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan isu wasiat ini.
Azida yang bertugas di biro Johor Bahru berasa ada masalah lain yang lebih utama untuk diselesaikan menemui Jelani di bazar Ramadan Taman Kota Jaya untuk bertanya apakah yang beliau inginkan pada saat itu.
Jelani dengan suara yang tersekat-sekat memberitahu Azida meminta jenazah ibunya tidak dibakar dan dihantar pulang dengan segera dan di bazar Ramadan itu jugalah Azida menelefon Wisma Putra bertanya prosedur membawa pulang jenazah Mariam.
Dua perkara diminta Wisma Putra ialah kos penghantaran yang harus dibiayai keluarga sebanyak RM11,000 dan surat rasmi berdaftar tuntutan waris. Umpama meminta bulan dan bintang, mustahil surat dan wang dapat dicari dalam masa sejam dua, sedangkan jenazah Mariam akan dibakar esok paginya.
Azida merayu Wisma Putra untuk menerima surat yang difakskan. Dalam kesibukan di bazar, anak perempuan Jelani bergegas membeli kertas A4 dan Azida membantu Jelani menderaf surat rasmi, lalu ditandatangani Jelani dalam tulisan jawi. Azida bergegas menumpang sebuah pejabat berdekatan untuk menghantar surat itu melalui mesin faks.
Pada masa sama, beliau menghubungi seorang selebriti yang berjanji untuk membantu keluarga Mariam dalam urusan membawa pulang jenazah, (atas permintaan selebriti yang tidak mahu dikenali, saya menggunakan nama samaran Kat).
Ketika itu sudah jam 4 petang, Kat bergegas mengeluarkan wang dari ATM dan bergegas dari Shah Alam ke pejabat Wisma Putra di Putra Jaya.
Sesampainya di sana pegawai itu kurang pasti apa yang harus dilakukan dengan wang tunai RM11,000 itu. Penolong Setiausaha Bahagian Konsular, Nor Azwa Azreen Abdul Aziz kemudian menyuruh Kat supaya pulang saja dan datang lagi bila diminta.
Kata Kat kepada saya, beliau terpinga-pinga dengan sikap selamba pegawai Wisma Putra.
Pada Selasa, jam 3.30 petang Park menelefon saya, katanya upacara pembakaran mayat yang sepatutnya dijalankan jam 11 pagi tadi tergendala apabila pegawai pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan jenazah Mariam akan dibawa pulang ke Malaysia.
Bersambung minggu depan.
Berita Minggu, September 20, 2009
No comments:
Post a Comment