"Tetapi mereka tidak tetapkan masa dan kami tak tahu sama ada ia berjaya atau tidak dan mayat Mariam masih di gereja," kata Park mengenai kekaburan situasi keluarga yang tidak tahu kedudukan sebenar jenazah Mariam.
Park mendraf surat yang menyatakan bahawa Ji membenarkan jenazah Mariam dibawa pulang ke Malaysia untuk dituntut Jelani. Surat itu ditandatangani Ji dan diserahkan dengan tangan ke pejabat kedutaan pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Park meminta saya bersimpati dengan kedua-dua keluarga Mariam di Seoul dan Kota Tinggi untuk mengesahkan apa yang telah berlaku.
Saya mendapat tahu Kohilan (Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay) memaklumkan bahawa Wisma Putra tiada kuasa untuk membawa pulang Mariam kerana arwah sudah melucutkan kewarganegaraannya pada akhir 2007 dan permohonannya diluluskan pada awal tahun lalu.
Bingung saya dibuatnya. Bagaimana mungkin Mariam melepaskan pasportnya pada tahun sama beliau mendapatnya dan selepas menunggu selama 64 tahun? Siapakah yang meracuni fikiran nenek itu untuk melepaskan hak kerakyatannya? Jika benar, mengapakah beliau masih ingin pulang ke tanah ini tiga bulan lalu?
Park menelefon saya lagi pada pagi Rabu, kali ini suaranya lebih ceria. Sister Seraphina, seorang biarawati yang bertanggungjawab memperkenalkan Park pada Mariam dan menjaga Mariam sebelum dia dipindahkan ke rumah warga tua, menghubungi seorang profesor di Suwon University yang pakar dalam menguruskan jenazah ke luar negara.
Park meminta saya menghubungi Jelani sekiranya mereka bersedia menuntut jenazah Mariam.
"Kami sedia membatalkan perkhidmatan pengebumian (bakar mayat) pada Jumaat, jam 3 petang," katanya berharap supaya upacara pembakaran mayat kali kedua itu tidak menjadi kenyataan.
Petang itu harapan untuk Mariam kembali ke tanah air menjadi semakin cerah, tetapi sekali lagi Wisma Putra bermain tarik tali dengan keluarga Mariam.
Pagi Khamis, 36 jam sebelum upacara pembakaran, saya menelefon Park untuk bertanyakan perkembangan dan terkejut apabila diberitahu pejabat kedutaan menolak mentah-mentah permintaan untuk menghantar Mariam pulang, walaupun kali ini Mariam akan pulang sebagai rakyat Korea, dibiayai oleh dermawan Korea dan diuruskan oleh Kerajaan Korea. Apa lagi yang tak kena? Fikir saya.
Jelani yang semakin buntu tidak berdaya untuk berniaga hari itu kerana amat runsing.
"Saya tak taulah Baiyah. Tak tau nak fikir apa lagi. Balik ke tidak mak saya ni?" katanya dengan suara perlahan dan tersekat-sekat. Saya tidak sampai hati untuk memberitahunya betapa genting keadaan ketika itu.
Pada hari sama seorang teman sekerja menelefon saya dan menasihati supaya tidak berputus harap. Beliau berbisik "Telefon Maij."
Belum sempat saya berbuat demikian, saya dihubungi seorang ustaz daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij), yang bertanya dengan panjang lebar mengenai upacara pembakaran mayat Mariam. Akhir sekali beliau bertanya kepada saya status agama Mariam.
"Bagi saya beliau seorang Islam," kata saya, lalu menerangkan saya pernah mendengar Mariam membaca Al-Fatihah dan mengucap, walaupun pelat, tetapi penuh yakin ketika menemuinya di Seoul dua tahun lalu.
Memang benar Mariam bernikah dengan Cho See Won, lelaki yang membawanya ke Hampyoeung selepas Perang Dunia Kedua dan dibaptiskan dalam gereja Roman Katolik, tetapi itulah hakikat masyarakat Korea pada zaman 40-an.
Mariam tidak punya pilihan, dalam pada itu beliau menegaskan kepada saya tidak pernah makan daging anjing atau babi seperti diamalkan keluarga Cho dan masyarakat di situ.
Sepanjang pertemuan saya dengan Mariam dua tahun lalu, beliau tidak pernah memakai salib atau mengaku menganut agama itu. Panjang lebar penjelasan saya dan ustaz berkenaan mendengar dengan teliti.
"Kalau kita nak ikutkan amalan, berapa sangat yang layak dikebumikan cara Islam."
Tidak lama kemudian saya dihubungi seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut mahu mendengar penjelasan saya mengenai Mariam (beliau meminta saya tidak menyebut namanya). Selepas itu Kadi Kota Tinggi, Taufik Shamsuddin pula menelefon untuk mendapat penjelasan sama.
Ketiga-tiga sumber saya ini tidak saya kenali sebelum ini dan daripada perbualan telefon dengan mereka petang Khamis itu, jelaslah Jakim dan Maij tidak meragui status agama Mariam dan secara senyap-senyap berusaha membawa pulang Mariam.
Selepas berbuka puasa, saya menerima e-mel menyayat hati daripada Park. Katanya, dia sudah berada di hujung segala usaha kerana pejabat Kedutaan Malaysia enggan bekerjasama dan profesor itu tidak akan mengawet jenazah Mariam kerana bimbangkan implikasi negatif hubungan antara dua negara.
Park berharap sepenuhnya pada saya untuk memujuk Kerajaan Malaysia untuk membawa Mariam pulang: "Tolonglah, tunjukkan saya keajaiban (boleh membawa mayat Mariam pulang. "
Apakah Park sudah hilang akal? Saya bukan nabi yang dikurniakan mukjizat untuk mencipta keajaiban. Yang mampu saya lakukan ketika itu hanyalah menyebut nama Allah untuk memberi saya jalan dan ilham tindakan selanjutnya.
Saya mendapatkan wartawan Berita Harian, Nazura Ngah untuk bertanya perkembangan pada hari itu. Katanya, Kohilan berkata, tiada masalah untuk Mariam pulang. Mengapa bercanggah sekali kenyataan ini? Tidak dapat tidak, saya nekad menelefon Menteri Luar, Datuk Anifah Aman pada jam sudah 10.30 malam, hanya tinggal 17 jam lagi sebelum mayat dibakar.
Selama setengah jam Anifah menjelaskan kepada saya prosedur penghantaran yang rumit dengan urusan surat-menyurat dan dokumen. Saya mendengar dan sesekali bertanya balas, misi saya cuma satu untuk meminta Anifah berlembut hati supaya memudahkan urusan Mariam.
"Bukan saya tidak berhati perut, saya juga orang Islam, tetapi surat-surat ini penting. Kita tidak boleh emosi. Tanpa surat pelepasan daripada keluarga di Seoul kita boleh dituduh menculik jenazah Mariam. Dah tentu ini akan memberi impak kepada hubungan Malaysia dan Korea Selatan."
Tiba-tiba dia bertanya: "Apa kaitan awak dengan keluarga Mariam?"
"Saya wartawan, ini tugasan saya."
Anifah memberi jaminan untuk membantu membawa pulang Mariam dengan syarat saya perlu mendapatkan surat tuntutan daripada waris di Kota Tinggi dan surat pelepasan daripada waris Mariam di Seoul dan die-melkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman pada malam itu juga.
Sambungan minggu lalu.
Berita Minggu, September 27, 2009
No comments:
Post a Comment