Sunday, October 4, 2009

Pelbagai dugaan bawa pulang jenazah Mariam

PADA jam 11.30 malam, saya menelefon Anifah sekali lagi dan memberitahunya mengenai surat di pejabat kedutaan itu. Beliau berkata pegawainya, termasuk pejabat di Seoul sudah dimaklumkan mengenai urusan penghantaran jenazah Mariam dan meminta saya menunggu panggilan daripada pegawainya.
  Tepat jam 12 malam saya menelefon Anifah sekali lagi kerana pegawainya masih belum menghubungi saya.
  "Telefon saya esok pagi." Sekali lagi beliau memberi jaminan pegawainya sedang berusaha.
  Bagaimanapun, keesokan harinya, tiga jam sebelum upacara pembakaran mayat, Park menelefon saya, kali ini beliau tidak lagi berselindung mengenai tujuannya.
  "Siti, saya dalam perjalanan ke hospital untuk menguruskan pembakaran mayat Mariam."
  Katanya, tiada sesiapa dari pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul menghubungi beliau untuk memberi jaminan Mariam akan dibawa pulang.
Kedutaan cuma menelefon Ji dan bertanya beberapa soalan saja mengenai upacara pembakaran pada hari itu.
  Giliran saya pula berasakan sudah berada di hujung usaha. Apa lagi yang boleh saya lakukan pada saat ini?
  Telefon saya berdering dan suara ustaz daripada Jakim itu kedengaran di hujung talian, kali ini saya turut mengetepikan profesion saya. Terus terang saya melahirkan kebimbangan, kerunsingan dan kebuntuan saya padanya. Tanpa segan silu, saya pula memintanya berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. "Tolonglah Mariam."
  "Insya-Allah," katanya tenang.
  Saya menelefon satu-satunya orang yang saya fikir boleh melakukan sesuatu, Anifah.
  "Datuk, jenazah Mariam sedang dibawa ke krematorium (tempat pembakaran mayat)."
  Anifah terkejut.
  "Nurbaiyah, saya ada surat yang difakskan semalam menyatakan Mariam
sudah dibakar semalam."
  "Tidak, dia akan dibakar hari ini, jam 2 petang waktu Malaysia."
  "Boleh awak periksa sekali lagi?"
  "Saya baru saja selesai menelefon orang hubungan saya di Korea."
  "Saya akan telefon awak nanti."
  Sepuluh minit kemudian Anifah menelefon saya semula.
  "Awak betul Nurbaiyah. Jenazah Mariam akan dibakar hari ini jam 3 petang. Saya sudah arahkan pegawai saya halang pembakaran itu."
  "Adakah kita akan membawa jenazahnya pulang?"
  "Ya... kami sedang bekerjasama dengan Kedutaan Korea untuk menyediakan semua keperluan dokumen untuk membawanya pulang."
  Tetapi debaran saya masih belum berakhir. Park masih di hospital, apa saja mungkin boleh berlaku.
  Jam 1.05 tengah hari, saya menerima panggilan dari Park dan beliau menyatakan sudah dihubungi supaya menghantar semula jenazah Mariam ke hospital untuk persediaan menghantar pulang ke Malaysia.
  "Inilah keajaiban, Siti," katanya. Tentunya segala keajaiban yang berlaku di ambang solat Jumaat (11 September) itu rahmat Allah dan tanda kebesaran dan keagungannya. Tatkala itu terlerailah segala rasa. Nazura mengusap belakang saya sambil menghulurkan kotak tisu kepada saya yang kehilangan kata-kata.
  Pada Isnin (14 September), Park memberitahu maklumat penerbangan, tetapi anehnya menurut Ibrahim, teman sekerjanya mendapat maklumat yang sama sekali berbeza daripada pejabat kedutaan di Seoul.
  Rudy Fazrunisyam Samarudin, wartawan Harian Metro di Johor Bahru diberitahu sehingga jam 2 petang waktu tempatan, belum mendapat syarikat penerbangan untuk menghantar jenazah itu, sedangkan Park memaklumkan kepada saya dengan terperinci pada jam 11 pagi lagi.
  Kata Park, urusan pembayaran kos juga sudah dibuat oleh agensi kerajaan di Malaysia.
  Rupa-rupanya, MAIJ yang membiayai kos penerbangan.
  Jenazah Mariam diterbangkan dari Seoul pada Selasa dan tiba pada hari berikutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua agensi kerajaan memberikan kerjasama yang cukup baik sehinggakan urusan berjalan lancar sekali tidak sampai sejam jenazah Mariam sudah berada di lebuh raya dalam perjalanan ke Kota Tinggi.
  Saya sempat melihat jenazah selepas selesai dimandikan oleh petugas di rumah mayat Hospital Kota Tinggi, anak sulung Mariam, Ramlah Sonni 74, dan isteri jelani, Suriah Anwar, 54. Wajah Mariam jernih, dahinya dingin ketika dikucup, matanya terpejam rapat.
  Jenazah beliau diiringi polis, anggota Rela dan bomba, persis pengebumian orang kenamaan.
  Kata Kadi Daerah Kota Tinggi, Taufik Shamsuddin, Mariam dimandi, dikafan, disembahyang dan disemadikan oleh orang yang berpuasa.
  "Bukan calang-calang orang yang diberi rezeki seperti ini." Subhanallah.

Berita Minggu, Oktober 4, 2009